| Berjaya Retail Plans To Open Six Retail Boutiques In M'sia This Year
Saya difahamkan Tan Sri akan menyenaraikan lagi anak-anak syarikat BCorp di bursa tempatan, sejauh mana pelaksanaannya?
Langkah ini merupakan rancangan jangka panjang melibatkan tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. Kami berhasrat untuk menyenaraikan operasi kumpulan automotif terdiri daripada pengeluar kereta berpusat di China seperti Changan Berjaya Auto Sdn. Bhd. (Changan Berjaya) dan Berjaya Brilliance Auto yang mengeluarkan van ERA Jinbei.
Apakah langkah yang sedang dilaksanakan?
Pada masa ini, kami sedang mengukuhkan kerjasama dengan tiga pembuat kereta terbesar di China termasuk Changan Berjaya, Berjaya Brilliance Auto dan terbaru, BYD Auto Co. Ltd. Kami yakin kerjasama dengan mereka akan mampu merancakkan lagi perniagaan automotif kami. Tambahan pula, kami juga telahpun memilik francais pengedaran kenderaan Mazda dan Skoda. Bagi Skoda , kami berusaha untuk menjadikannya berjaya dengan keupayaan menawarkan sumbangan bahagian automotif lebih besar kepada syarikat induk. Kami akan terus melabur antara RM250 juta hingga RM300 juta untuk penubuhan kilang pengeluaran di Bukit Tagar melibatkan kawasan seluas 5,200 hektar. Kami akan mulakan dengan 40 hektar yang dikenal pasti.
Kenapa usaha sama dengan syarikat automotif China menjadi pilihan?
Saya yakin jika diberikan tempoh antara lima hingga 15 tahun akan datang, kereta buatan China merupakan antara pemain terbesar di dunia kerana mereka mampu berdaya saing berikutan kos yang lebih rendah. Saya difahamkan setiap tahun, negara republik itu menghasilkan berjuta-juta jurutera yang berperanan penting untuk berjaya dalam industri ini. Gaji mereka (jurutera) lebih rendah berbanding Jepun, Korea dan negara-negara Barat, iaitu lima atau 10 kali ganda lebih mahal. Di samping itu, China melabur dalam reka bentuk yang betul seperi mengupah pereka bentuk dari Itali, mengkaji serta melaksanakan perunding kejuruteraan.
Bagaimana Tan Sri yakin dengan keupayaan itu?
Ketika kami menjalankan perniagaan dengan Hyundai, (salah sebuah syarikat terkemuka Korea) menerusi pelaburan dan penubuhan kilangnya kira-kira 20 tahun lalu, tidak ramai yang mahu membelinya dan menganggap kereta keluaran syarikat itu hanya sesuai untuk para pekerjanya atau sesiapa yang berkaitan dengan BCorp sahaja.
Bagaimanapun apabila Hyundai menambah baik teknologi produknya, ramai pengguna memilih untuk membelinya. Justeru, saya yakin pembuat kereta China dalam 10 tahun akan datang berada di kedudukan lima teratas di dunia.
Selain perniagaan automotif, apakah lagi tumpuan BCorp?
Kami telah mengemukakan permohonan untuk menjalankan operasi perjudian di Vietnam dan telah berbincang dengan kerajaannya lebih setahun. Diharapkan keputusan dapat dimuktamadkan secepat mungkin dan berjaya dilaksanakan sejajar dengan operasi perjudian di Filipina yang dilaksanakan ketika ini.
Bagi perniagaan jualan langsung di bawah Cosway, kami menjangkanya akan mewakili modal pasaran terbesar syarikat dan perniagaan paling bernilai kerana berupaya menembusi setiap negara di seluruh dunia. Kami mahu mencontohi kejayaan Espirit Holdings, sebuah syarikat berpusat di Hong Kong dengan menggunakan model perniagaan syarikat itu. Kami meluaskan pasaran Cosway di antara 40 hingga 50 negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dengan sasaran jualan melebihi RM20 bilion.
Kami yakin mampu mencatat peningkatan margin sebanyak 10 peratus disebabkan perniagaan ini berpotensi mencatatkan keuntungan sehingga RM2 bilion setahun. Keyakinan itu bersandarkan kejayaan dalam sembilan negara yang kami beroperasi. Kini, operasi Cosway di China dilakukan menerusi syarikat Hong Kong secara dalam talian kerana kami masih belum mempunyai lesen pemasaran pelbagai peringkat (MLM) di China. Kami telah memohon lesen itu dan menjangka dapat beroperasi pada awal tahun depan di republik itu yang merupakan pasaran terbesar kami selain Amerika Syarikat (AS).
Bagaimana dengan perkembangan dalam perniagaan yang berhubung kait dengan alam sekitar?
Salah satu perniagaan yang sedang kami tinjau melibatkan alam sekitar seiring dengan perniagaan rawatan pembetungan dan pelupusan sampah. Kami kini, melaksanakan rawatan air di Kedah dan Perak melalui syarikat persendirian. Kami juga meninjau sistem pembetungan di China dan menubuhkan sebuah ladang solar di Bukit Tagar, Selangor.
|