Utusan
Kira-kira RM300,000 berjaya dikumpulkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi menjayakan Malam Wartawan dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2008 yang akan berlangsung pada 6 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata, jumlah itu merupakan sumbangan daripada 42 buah syarikat korporat dan agensi kerajaan demi mengiktiraf karya-karya cemerlang wartawan sepanjang tahun lalu.
''Sebanyak RM200,000 telah disumbangkan oleh Petronas sekali gus menjadikan syarikat itu sebagai penyumbang terbesar sempena majlis ini.
''Bagaimanapun, kita harap selepas ini, lebih ramai lagi ahli-ahli korporat mahupun badan-badan kerajaan yang bermurah hati menghulurkan sumbangan,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Malam Wartawan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPI, Datuk Seri Azman Ujang.
Chamil berkata, antara penyumbang lain ialah UEM Group Berhad, Sapura Holdings Sdn. Bhd; Plus Expressways Berhad, Digi Telecomunnications Berhad, Glomac Berhad, Pejabat Menteri Besar Terengganu, Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad.
Sementara itu, katanya, sebanyak 471 penyertaan daripada pelbagai agensi media telah diterima pada tahun ini menerusi 13 kategori yang dipertandingkan.
Antara kategori itu adalah Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang, Kewartawanan Berita Cemerlang, Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang, Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, Kewartawanan Penulisan Rencana Cemerlang dan Penulis Kolum Cemerlang.
''Tahun ini, hanya ada satu pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan dan mereka yang layak, berpeluang untuk memenangi wang tunai RM11,000 untuk setiap kategori,'' jelasnya.
Beliau memberitahu, bagi kategori Hadiah Kajai pula, pemenangnya akan menerima wang tunai RM24,000, pingat emas bernilai RM10,000 serta sijil penghargaan.
Dalam pada itu, katanya, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang.
|
Azman Ujang (depan, enam dari kanan) dan Chamil Wariya (depan, empat dari kiri) bersama para penyumbang pada Majlis Penyampain Sumbangan Malam Wartawan Malaysia 2009 di Kuala Lumpur, semalam. |